Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan cuti tambahan sempena hari raya Aidiladha pada 30 Jun 2023 kepada penjawat awam di seluruh negeri itu selaras dengan Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dalam satu kenyataan, pengumuman itu berikutan pengisytiharan di mana umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun 2023.
“Selain itu, cuti tambahan ini khusus kepada semua penjawat awam kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan negeri ini sahaja.
“Walaubagaimanapun, badan berkanun, anak kerajaan syarikat negeri dan pihak swasta adalah tidak tertakluk kepada arahan ini dan terpulang kepada majikan masing-masing selaras dengan Akta Kerja 1955 (Akta 265).
“Pentadbiran kerajaan negeri Selangor juga ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidiladha kepada semua penjawat awam dan rakyat negeri Selangor,” katanya. – JURNAL