Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa penjawat awam di Malaysia harus terus menjadi contoh dalam menyediakan perkhidmatan terbaik, terutamanya bagi negara berkembang dan negara Islam lain.
Anwar berkata, keupayaan penjawat awam Malaysia mencuri perhatian dunia diterjemahkan apabila Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama selepas melihat kejayaan institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Di beberapa negara lain, seperti Mesir, presidennya juga meminta supaya hubungan dengan perkhidmatan awam Malaysia ditingkatkan kerana mereka mengikuti dan menghargai kaedah pentadbiran kita,” katanya.
Menurut Anwar, pencapaian itu bukan sekadar hasil usaha terkini, tetapi tradisi dan warisan perkhidmatan awam Malaysia yang telah lama dibina.
“Ini bukan kerana saya perdana menteri. Ini adalah hasil tradisi dan jasa yang kita warisi. Namun, peranan kita sekarang adalah memberikan kejutan baharu untuk meningkatkan semangat itu,” tambahnya.
Anwar menyampaikan mesej tersebut dalam Majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, dengan harapan penjawat awam terus memacu kecemerlangan yang boleh menjadi inspirasi buat dunia. – JURNAL