Seorang gadis berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan mendera kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di daerah ini, pada Ogos lalu.
Tertuduh yang juga seorang penjaga di pusat jagaan tersebut mengaku tidak bersalah di dua kamar mahkamah berasingan dan didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Gadis itu hadir di mahkamah dengan mengenakan jubah hitam.
Dalam perkembangan berasingan, semalam menyaksikan operasi besar-besaran dikenali sebagai Op Global yang berjaya menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun di Selangor dan Negeri Sembilan.
Operasi yang dilaksanakan antara jam 6 hingga 11 pagi itu melibatkan 20 buah rumah amal, dengan 18 daripadanya terletak di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa rumah-rumah amal tersebut dikaitkan dengan ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) yang disyaki menggunakan agama sebagai topeng kegiatan keji.
Menurutnya, mangsa dilatih untuk meliwat dan seterusnya dipaksa melakukan perkara sama terhadap kanak-kanak lain yang turut tinggal di rumah amal tersebut.
Operasi tersebut berjaya menyelamatkan 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian, dan penderaan.
Berdasarkan maklumat dan siasatan lanjut, polis mengesyaki kumpulan ini terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia dan kesalahan lain yang lebih dahsyat. – JURNAL
Sumber: Berita Harian