Seorang peniaga lemang ditahan polis selepas disyaki memukul pelanggan dengan buluh lemang malam kelmarin.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Cawangan D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah jam 12.15 tengah malam tadi, di Jalan Kota, Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata penahanan peniaga terbabit dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis daripada pesara tentera berusia 61 tahun yang juga pelanggan suspek mendakwa dipukul.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan kejadian dipercayai berpunca apabila suspek marah dengan tindakan pengadu yang mencampak lemang dan merakam video mengatakan gerai terbabit menjual lemang tidak masak.
“Sebelum kejadian kira-kira jam 8 malam (Jumaat) pengadu dikatakan ke gerai menjual lemang terbabit kerana mendakwa lemang yang dibelinya pada sebelah pagi tidak masak tetapi suspek tidak mahu melihatnya.
“Susulan itu berlaku pertengkaran sebelum suspek dikatakan memukul pengadu dengan buluh,” katanya.
Menurut beliau, akibat kejadian itu, pengadu yang cedera di telinga kiri dan tangan kanan terkena serpihan buluh lemang mendapat rawatan di Hospital Melaka.
“Selain tangkapan ke atas suspek, polis turut merampas buluh yang digunakan memukul mangsa. Peniaga dibebaskan dengan jaminan polis sejurus siasatan selesai dijalankan,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH Online