Sepuluh lokasi percuma yang ditawarkan kerajaan negeri sempena Hari Memperingati Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Air, hari ini dibanjiri pengunjung seawal jam 7 pagi.
Pengunjung mengambil peluang cuti umum di negeri ini untuk mengunjungi lokasi terpilih itu bersama keluarga masing-masing bagi merasai pengalaman mereka.
Lokasi berkenaan adalah Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Melaka Wonderland & Themepark, Malaysia Heritage Studio, muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Balai Cerap Al-khawarizmi, lima kelab golf, Muzium Penjara dan Taman Laut Melaka.
Tinjauan di Taman Rempah yang menempatkan perkhidmatan Melaka River Cruise mendapati orang ramai beratur sepanjang kira-kira satu kilometer bagi menunggu giliran menaiki bot.
Keadaan serupa juga berlaku di Zoo Melaka sehingga menyebabkan pihak pengurusan zoo berkenaan membuka pintu masuk jam 9 pagi berbanding jam 10 sebelum ini.
Sementara itu, keseksaan lalu lintas berlaku di beberapa kawasan tumpuan 10 lokasi berkenaan.
Antaranya di sepanjang Lebuh Ayer Keroh, Banda Hilir serta kawasan sekitar Bandaraya Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini mengumumkan tawaran kepada pelancong yang berkunjung ke negeri itu untuk masuk dan menggunakan kemudahan secara percuma di 10 tarikan pelancongan pada hari ini sempena sambutan Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Pada hari berkenaan juga orang ramai akan turut menikmati parkir percuma di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO