Pada 24 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas You selepas didapati bersalah membunuh bapanya.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki berkenaan membunuh bapanya dengan memenggal kepala dan mengerat badan mangsa kepada enam bahagian selepas berang ditegur ketika menghisap dadah di dalam rumah mereka.
Kepala warga emas itu ditanam di belakang rumah mereka, manakala bahagian badan pula dibuang ke lubang pembentungan sedalam 1.52 meter.
Terdahulu, peguam, Amir Faliq Mohamad Jamil yang mewakili perayu berhujah bahawa pihak pendakwaan telah memanggil doktor psikiatri (Ian Llyod) yang mengesahkan bahawa anak guamnya adalah siuman semasa kejadian.
“Bagaimanapun, doktor psikiatri itu di dalam keterangannya sendiri tidak menolak kebarangkalian bahawa berlakunya kegilaan sementara, sekiranya terdapat kebergantungan kepada dadah.
“Laporan psikiatri menunjukkan perayu positif methamphetamine dan amphetamine.
“Seramai enam saksi pendakwaan juga telah membuktikan bahawa perayu hilang kewarasan sementara semasa kejadian kerana pengambilan dadah,” kata peguam itu yang turut dibantu Siti Nor Syahidah Ismail dan Afina Abdul Hakim.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azmi Mashud berhujah bahawa semasa pemeriksaan perubatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, doktor psikiatri berkenaan mengesahkan bahawa semasa kejadian perayu tidak mengalami sebarang penyakit mental. – JURNAL
Sumber: BERNAMA