Kejayaan global TikTok telah melonjakkan pengasas bersama syarikat induknya, ByteDance, menjadi individu terkaya di China. Menurut senarai terkaya yang dikeluarkan oleh Hurun Research Institute, nilai kekayaan Zhang Yiming kini mencecah $49.3 bilion (RM233.7 bilion), meningkat 43% berbanding 2023.
Zhang, 41 tahun, telah melepaskan jawatan eksekutif di ByteDance pada 2021, namun masih memiliki sekitar 20% pegangan dalam syarikat itu. Meskipun TikTok menghadapi kritikan dari beberapa negara berhubung kaitannya dengan kerajaan China, aplikasi tersebut tetap menjadi salah satu media sosial paling popular di dunia.
Di Amerika Syarikat, TikTok sedang menghadapi ancaman pengharaman pada Januari 2025 jika ByteDance tidak menjual aplikasi tersebut. Namun, walaupun berdepan tekanan di AS, keuntungan global ByteDance melonjak 60% tahun lalu, sekaligus meningkatkan kekayaan peribadi Zhang.
“Zhang Yiming merupakan individu ke-18 yang menduduki tempat teratas dalam senarai jutawan China dalam tempoh hanya 26 tahun,” kata Rupert Hoogewerf, ketua Hurun.
“Sebaliknya, di Amerika Syarikat, hanya empat individu yang pernah menduduki tempat ini: Bill Gates, Warren Buffett, Jeff Bezos, dan Elon Musk. Ini menunjukkan betapa dinamiknya ekonomi China.”
Selain Zhang, industri teknologi China turut menyaksikan penyertaan tokoh lain seperti Pony Ma, CEO Tencent, yang menduduki tempat ketiga dengan kekayaan sebanyak £44.4 bilion (RM258.5 bilion). Namun, kebanyakan jutawan teknologi lain tidak begitu bernasib baik dalam ekonomi China yang perlahan. Malah, hanya sekitar 30% daripada individu dalam senarai ini mengalami peningkatan kekayaan, sementara yang lain menyusut.
“Hurun China Rich List mengecil untuk tahun ketiga berturut-turut kerana ekonomi dan pasaran saham China menghadapi tahun yang sukar,” ujar Hoogewerf.
Senarai jutawan ini berkurangan sebanyak 12% berbanding tahun lalu dan 25% sejak kemuncaknya pada 2021.
Di sebalik cabaran ini, pengeluar telefon pintar seperti Xiaomi mengalami tahun yang positif, manakala pasaran tenaga hijau mengalami kesukaran.
“Pengeluar panel solar, bateri litium, dan kenderaan elektrik berdepan persaingan sengit dan lambakan produk yang mengakibatkan kejatuhan nilai kekayaan hingga 80% berbanding 2021,” kata Hoogewerf.
Kejayaan Zhang Yiming sebagai individu terkaya di China bukan sahaja mencerminkan potensi TikTok dan ByteDance, malah mengukuhkan lagi kedudukan sektor teknologi China di arena global. – JURNAL
Sumber: BBC