Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023 yang dijadualkan berlangsung di Frankfurt, Jerman.
Menerusi hantaran di laman sosial X, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira sikap pro-Israel serta sokongan terbuka daripada pihak penganjur terhadap Israel.
Menurutnya, KPM tidak akan sesekali berkompromi terhadap keganasan Israel di Palestin.
Beliau juga menegaskan tindakan Israel jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Tambah Fadhlina, keputusan diambil KPM adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk sentiasa bersolidariti dan memberi sokongan penuh kepada Palestin.
Selain KPM, Dewan Bahasa dan Pustaka juga mengambil keputusan sama, tidak menyertai pesta buku tersebut.
DBP menegaskan keputusan itu adalah selaras dengan pendirian Kerajaan Persekutuan.
“Selaras dengan pendirian kerajaan dalam konflik Palestin – Israel pada ketika ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023,” katanya. – JURNAL