Tindakan vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy menunjukkan perlakuan kurang sopan dalam konsert di Good Vibes Festival 2023 berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, semalam dianggap sebagai biadap.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, beliau akan memanggil penganjur untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.
“Ini satu tindakan yang sangat biadab. Saya telah panggil penganjur untuk beri penjelasan esok dan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan laporan penuh,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya, awal pagi tadi.
Terdahulu, konsert kumpulan itu dihentikan selepas Matty yang terkenal dengan aksi biadap menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Dalam konsert itu, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara ibu berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebelum bertindak mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.
Difahamkan ketika pertengahan persembahan, pentas tiba-tiba bertukar gelap sebelum Matty yang dalam keadaan marah memaklumkan mereka disekat daripada meneruskan konsert berkenaan.
Insiden itu bukan kali pertama berlaku membabitkan perlakuan biadap Matty ketika konsert.
Ketika konsert di London, baru-baru ini, Matty dilaporkan memakan daging stik mentah membuatkan penonton berasa mual dengan aksinya itu.
Matty juga pernah mengaku menonton video lucah yang merendah-rendahkan kaum wanita khususnya berkulit hitam sambil melakukan onani. – JURNAL