Festival membeli-belah sempena sambutan Syawal, Hooray X Fest Raya yang dijadual bermula hari ini sehingga 21 April depan terpaksa dibatalkan di saat akhir.
Perkara itu dimaklumkan oleh beberapa vendor yang telah membuat tempahan reruai pada program yang sepatutnya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Mereka memaklumkan, pihak penganjur didakwa membatalkan pesta 72 jam tanpa henti itu sekitar jam 3 petang semalam.
“Kami sepatutnya masuk ke WTCKL hari ini (Selasa) untuk melakukan persiapan jualan yang akan bermula pada Rabu.
“Tetapi petang tadi (Selasa), kami dimaklumkan yang pihak WTCKL tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak penganjur.
“Jadi, tiada kontraktor atau vendor yang dibenarkan melakukan persiapan,” kata salah seorang vendor yang bersiaran langsung di aplikasi TikTok menggunakan akaun @umarnipoh pada Selasa malam.
Beberapa vendor lain turut bersiaran langsung menerusi aplikasi TikTok dan berkongsi rasa kecewa serta tidak puas hati mereka terhadap pihak penganjur.
@jurnal.malaysia Kesian vendors semua. Semoga urusan mereka dipermudahkan🥲 #jurnal #jurnalmalaysia #artismalaysia #artist #top #celebrity #star #icon #idol #no1 #influencer #viral #trending #fyp #mogok #batal #influencer #horreyfest #vendor ♬ original sound – Jurnal Malaysia
Antara ratusan vendor yang terlibat adalah dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terdiri daripada peniaga pakaian, makanan, kuih raya dan kelengkapan raya.
Malah, ada dalam kalangan vendor yang mendakwa mereka kerugian mencecah puluhan ribu ringgit lantaran terpaksa menanggung kos logistik, pemasangan reruai serta modal jualan bagi menyertai pesta tersebut.
Menerusi kempen promosi sebelum ini, difahamkan pesta tersebut dianjurkan oleh Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd dengan menghimpunkan 100 usahawan selebriti popular.
Dalam pada itu, WTCKL dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya tidak terlibat dalam pengurusan acara tersebut.
Katanya, WTCKL merupakan penyedia lokasi sahaja, di mana tidak berkait dengan penganjur, Tenview (M) Sdn Bhd.
“Oleh itu, kita tidak bertanggungjawab atas sebarang bentuk kerugian sama ada secara langsung atau sebaliknya.
“Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, orang ramai dan pihak vendor boleh berhubung dengan syarikat berkenaan,” katanya. – JURNAL