Pihak polis mengesahkan penemuan rangka manusia, termasuk tengkorak di dalam loji kumbahan di Taman Seri Penawar, Bandar Penawar.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, memaklumkan bahawa penemuan tersebut dilaporkan oleh seorang kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan kelmarin.
Pihak polis yang menerima laporan tersebut bertindak pantas dengan mengerahkan pasukan bersama Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan kami mendapati kain pelikat tersangkut pada mesin kisar tapis sampah. Dengan bantuan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, rangka dan tulang yang ditemui tersangkut di tengah-tengah mesin tersebut berjaya dikeluarkan,” ujar Superintendan Yusof.
Beliau turut memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan menyeluruh di tempat kejadian berjaya menemui satu tengkorak, tujuh ketul tulang panjang, sepasang tulang pinggul, dan segumpal rambut.
Spesimen tulang yang ditemui telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tujuan bedah siasat.
Buat masa ini, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. – JURNAL
Sumber: Berita Harian