Pihak pendakwaan membantah permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan kembali pasportnya dari Mahkamah Sesyen.
Bekas Perdana Menteri sebelum ini membuat permohonan berenaan dengan mengemukakan beberapa alasan, termasuk sudah membuat perancangan untuk bercuti bersama keluarga di luar negara.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad, berkata pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonan berkenaan.
“Pihak pendakwaan menerima notis permohonan itu pada 17 Oktober lalu dan kami membantahnya.
“Oleh itu, kami memohon satu tarikh untuk memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh dua minggu dari hari ini,” katanya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Sementara itu, peguam mewakili Muhyiddin, Datuk K Kumaraendran, berkata pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balas dan memohon supaya tarikh pendengaran bagi pelepasan pasport itu ditetapkan 23 November ini.
Azura bersetuju dengan tarikh pendengaran itu, selain memerintahkan afidavit jawapan pihak pendakwaan difailkan pada atau sebelum 8 November, manakala afidavit balasan pemohon difailkan sebelum atau pada 17 November.
“Mahkamah juga menetapkan 21 November bagi pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis secara serentak sebelum tarikh pendengaran itu,” katanya.
Pada 16 Oktober lalu, Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden BERSATU, memfailkan notis permohonan bagi mendapatkan kembali pasport tanpa syarat.
Bekas Perdana Menteri dilaporkan berkata, perancangan untuk bercuti tahun ini tidak terkecuali dan ingin membawa keluarganya ke London, United Kingdom (UK) pada akhir tahun.
Katanya, percutian itu penting bagi membolehkan masa diluangkan bersama kerana dirinya dan keluarga amat tertekan pada tahun ini.
Selain itu, Muhyiddin menyatakan hasrat untuk ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Pada 2 Oktober lalu, Muhyiddin memohon supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga lagi tuduhan jenayah yang dihadapinya, iaitu menerima wang hasil aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta.
Pengerusi PN itu membuat permohonan berkenaan dengan alasan beliau sudah dilepas dan dibebaskan untuk kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pertuduhan di Mahkamah Sesyen adalah tidak berasas kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas membenarkan permohonan beliau untuk membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE