Licik! Warga Rusia, Angela Nikolau mendedahkan melakukan penyamaran sebelum menceroboh masuk ke Menara Merdeka 118 untuk menyempurnakan misinya.
Perkara tersebut didedahkan Angela menerusi ciapan di laman Twitternya, pada Rabu dan disertakan beberapa keping fotonya menyarung seragam pekerja bangunan bertudung dan memakai cermin mata.
Katanya lagi, dia turut membuat persiapan rapi seperti meneliti selok belok bangunan pencakar langit itu sebelum menawannya.
“Saya jatuh cinta dengan Menara Merdeka 118 sebaik saja melihatnya. Saya berasa seperti berhubung secara rohani dengannya.
“Bangunan itu sangat megah di tengah bandar yang menakjubkan dan saya perlu terokai serta berkongsi pemandangan dengan orang ramai.
“Saya sewa sebuah pangsapuri dengan pemandangan menara itu untuk jalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan itu sebelum memasukinya.
“Saya habiskan beberapa minggu untuk mengetahui butiran penting yang perlu saya ketahui sebelum pergi ke sana,” ciapnya.
Tambah Angela lagi, selepas berjaya menceroboh dia berjaya menaiki tangga sehingga ke tingkat 32 dan di sana dia terpaksa berbogel kerana terlalu panas.
“Saya berlari ke 32 tingkat pertama dan terlalu panas di situ. Keadaan itu memaksa saya baring atas lantai konkrit tanpa berpakaian bagi menyejukkan badan sedikit dan minum semua air yang ada,” ciapnya.
Dia juga berdepan detik mencemaskan apabila hampir ditangkap ketika sedang berehat.
“Saya jumpa tempat berlindung dalam kotak konkrit kecil dan bersembunyi di dalamnya selama lebih 20 jam di situ.
“Ini saya (merujuk gambar) 25 jam kemudian, saya tiada makanan, minuman serta tidak tidur. Saya tak dapat regangkan kaki dan seluruh badan sakit.
“Nak menangis tak boleh kerana bimbang pekerja bangunan dengar tangisan saya,” ciapnya.
Katanya, menara berkenaan setinggi 53 tingkat dan dia memanjat bangunan sambil membawa beg galas seberat 15 kilogram (kg).
Menurutnya, kejayaan sampai ke puncak membuatkan dia berasa kembali bertenaga dan apa yang dilakukannya berbaloi.
Pada akhir ciapan, Angela memberitahu yang dia menghormati undang-undang di setiap negara biar pun yang dilakukannya ialah pencerobohan. – JURNAL