Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) bagi dua mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Kemaman diteruskan pagi ini dengan kawasan pencarian diperluaskan meliputi 67 batu nautika.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali memaklumkan bahawa pencarian memasuki hari kedua dengan sokongan tiga aset dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta bot nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman.
“Seramai 50 orang terdiri daripada pegawai dan anggota penyelamat serta orang awam terbabit dalam pencarian itu. Kawasan pencarian turut diperluaskan dan bertumpu di sekitar perairan Kemaman dan perairan Kijal,” katanya.
Keadaan cuaca dan ombak yang sangat baik memberi harapan tambahan kepada usaha pencarian.
“Dua pesawat udara iaitu Bombardier CL415MP dari APMM dan helikopter AW139 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut membantu operasi pencarian. Kedua-dua pesawat ini akan memberi tumpuan kawasan pencarian meliputi sehingga 195 batu nautika persegi,” jelas Ariffin lagi.
Tragedi ini berlaku semalam apabila sebuah bot nelayan yang dikendalikan dua tekong dan tujuh pemancing karam selepas dilanggar tongkang sekitar jam 6.30 pagi.
Dua mayat telah ditemui iaitu Shahril Ismail, 50, dan Siti Zaminah Mohman Zobini, 29, sementara dua lagi mangsa, Yusoff Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25, masih belum ditemukan. – JURNAL
Sumber: Harian Metro