Pemilik McLaren tular, dikenali sebagai Hafis Wasa, tampil memberikan penjelasan mengenai isu yang menjadi bualan netizen baru-baru ini.
Hafis berkata, kenderaan dengan nombor plat QPA1 itu sudah menjadi milik Opai tetapi belum dipindah hak milik kerana kekangan masa.
“Ya saya pemilik kenderaan itu, tapi Opai dah beli kereta itu daripada saya pada November lalu.
“Cuma kami belum lakukan penukaran pindah milik lagi sebab dia agak sibuk dengan urusan perkahwinan, umrah dan sedikit pembedahan. Semuanya masih dalam proses tapi bayaran dia dah selesaikan,” katanya.
Menurut Hafis, Opai membeli kereta mewah tersebut untuk membantunya yang berdepan dengan masalah perniagaan ketika itu.
“Saya ada jalankan perniagaan dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bisnes kami ada masalah situ, itu sebab kami buat keputusan untuk jual kereta tersebut.
“Saya rasa Opai beli kereta itu pun sebab nak tolong saya, ikutkan dia ada banyak pilihan kereta lain yang lebih mewah.
“Kami dah kenal sejak 2016. Sepanjang perkenalan saya dengan Opai, dia dekat luar tidak sama macam di dalam video. Dia seorang yang baik dan hormat orang,” jelasnya.
Terdahulu, nama suami kepada pelakon Fatin Afeefa iaitu Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai menjadi bualan netizen selepas timbul dakwaan dia dipanggil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak menggunakan nombor plat sebenar pada kenderaan jenis McLaren.
BACA: McLaren Nombor Plat QPA1, JPJ Cari Suami Artis
Bukan sahaja isu penggunaan nombor plat QPA1, malah sportcar berwarna hijau itu juga didapati didaftarkan atas nama orang lain.
Sementara itu, Opai memaklumkan dia tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak berkuasa berhubung isu berkenaan.
Jelas Opai, dia hanya menggunakan nombor plat QPA1 sewaktu berkahwin dengan Fatin untuk tujuan merakamkan foto kenangan bersama. – JURNAL