Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan warung, gerai serta restoran yang bersih dan indah diberi tumpuan agar ia menjadi mercu tanda untuk setiap negeri dan bandar di seluruh negara.
Beliau berkata semua majlis perbandaran di seluruh negara diminta untuk menentukan keutamaan berkaitan termasuk dalam aspek bekalan air, elektrik dan perpaipan bagi membolehkan aspirasi itu direalisasikan.
Katanya dengan cara itu ramai rakyat akan memilih untuk pergi ke gerai, warung dan restoran berbanding hotel lima bintang, sekiranya aspek kebersihan dan keindahan premis itu dititikberatkan.
“Tumpu pembangunan warung dan gerai, biar bersih dan indah kerana majoriti rakyat kita gunakannya. Tanggungjawab rakyat pula menjaga kebersihannya. Ini tugas penting untuk Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, bukan hanya minta peruntukan, tetapi ada misinya. Ini kerajaan julung kalinya bagi penekanan.
“Nak bangunkan kota, bangunkan gerai dan warung (yang bersih dan indah) dulu. Esok nak kenal Kota Kinabalu atau Penampang, pastikan gerai, warung dan restoran diurus dengan baik dan indah,” katanya berucap merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat Kebangsaan 2023 di Buhavan Square di sini hari ini. – JURNAL
Sumber: BERNAMA