Seorang wanita yang merempuh empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun sehingga menyebabkan tiga daripada mereka maut dan seorang cedera parah, dipercayai tidak siuman.
Kejadian tragis itu berlaku di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung, Dungun, malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, kemalangan itu dilaporkan sekitar jam 7.35 malam melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dan dua motosikal Yamaha Y15ZR serta Yamaha 135 LC.
Mangsa yang terkorban adalah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dari Ayer Hitam, Johor.
Turut maut ialah dua lagi pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah, termasuk patah tulang leher dan kecederaan di kepala serta dada. Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelas Wan Rukman.
Menurut siasatan awal, kesemua mangsa sedang bergerak dari arah Kuala Dungun menuju Pantai Teluk Gadung sebelum dirempuh dari belakang oleh SUV terbabit.
Mangsa yang cedera parah, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur, dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun.
Wanita berusia 49 tahun yang memandu SUV itu telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian