Barisan pemain dan kejurulatihan Kelantan United FC (KUFC) tampak boleh ‘bernafas’ sedikit selepas pasukan itu melunaskan tunggakan gaji sebanyak sebulan setengah, baru-baru ini.
Sumber berkata, pembayaran terbabit sedikit sebanyak jelas membantu meringankan beban kewangan ditanggung mereka sebelum ini namun mengharapkan KUFC dapat menunaikan janji mereka untuk menyelesaikan semua ‘hutang’ pada hujung bulan ini.
“Mereka dalam perancangan untuk selesaikan (tunggakan gaji). Syukur juga mereka sudah selesaikan sebulan setengah dan mereka maklumkan akan selesaikan separuh lagi untuk bulan Ogos pada minggu ini.
“Mereka juga katakan akan cuba selesaikan semuanya sebelum akhir Disember. Jadi harapnya begitulah (dapat selesaikan) dan jangan sekadar janji semata-mata.
“Sebabnya pemain dan jurulatih pun banyak yang hendak diselesaikan kerana mereka sampai terpaksa gadaikan barang kemas isteri untuk meneruskan kehidupan,” kata sumber itu.
Sebelum ini, media melaporkan KUFC turut terpalit dengan isu tunggakan gaji yang menyaksikan pemain pasukan itu tidak menerima gaji sejak Ogos lalu.
Pengurusan KUFC turut didakwa ‘pilih kasih’ selepas sekadar menyelesaikan tunggakan gaji buat pemain import kerana bimbang pemain terbabit akan membuat laporan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Memetik kenyataan sumber, pemain mengambil pendekatan untuk berdiam diri sebelum ini bagi memastikan urusan permohonan lesen kebangsaan berjalan lancar selain mahu menjaga nama baik pasukan itu. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE