Kisah menyentuh hati seorang pelajar cemerlang, Rafida Zaiddin, yang membawa guni sebagai beg untuk pendaftaran ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini, telah menarik perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Fadhlina dalam satu hantaran di Facebook rasminya telah memaklumkan bahawa beliau segera menghubungi Rafida dan memastikan segala urusan kewangan serta keperluan pelajar itu diselesaikan agar dia dapat meneruskan pengajiannya tanpa sebarang kerisauan.
“Rafida adalah seorang anak yang cerdik, berasal dari Sandakan, Sabah. Keputusan peperiksaannya di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan, dan kini sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS,” kata Fadhlina.
Menariknya, kisah Rafida turut memberi kesan peribadi kepada Fadhlina kerana pada hari sama, beliau juga menghantar anak sulungnya ke universiti.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Cikgu Rahman, serta Dr Abdullah Bade, pensyarah UMS yang melaporkan keadaan Rafida,” tambahnya lagi.
Dalam hantaran yang sama, Fadhlina turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Rafida kerana memberi kesedaran bahawa pendidikan adalah kunci kekuatan negara.
“Fly high, stand tall Rafida. Insya-Allah, segala urusan pengajian Rafida telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajiannya. Semoga Allah memberkati perjalanan pendidikan Rafida,” ujar beliau. – JURNAL