Dua orang calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022 yang tular kerana mengeluarkan kata-kata kesat selepas menjawab peperiksaan untuk mata pelajaran Sejarah Kertas 2 baru-baru ini meluahkan perasaan kesal atas perbuatan mereka.
Pelajar-pelajar tersebut memuat naik sebuah video permohonan maaf secara terbuka selepas menyedari tindakan mereka mengecam pembuat kertas soalan itu menerima kecaman orang ramai.
Katanya, kata-kata yang keluar dari mulut mereka ketika itu adalah spontan antara kawan-kawan.
“Apa yang keluar dari mulut saya itu spontan, kita meluahkan pada kawan-kawan. Tapi, kawan saya ini dia tersilap langkah, dia tak fikir sebelum buat dan mengupload (muat naik) video dia sendiri itu ke dalam media sosial yang mengakibatkan viral.
“Apa-apa pun, saya di sini nak memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, Kementerian Pelajaran (KPM), guru-guru saya serta guru yang terlibat membuat kertas soalan itu” katanya.
Terdahulu dua remaja lelaki tersebut ditahan selepas laporan yang dilakukan oleh seorang guru wanita berusia 53 tahun Balai Polis Batang Kali, selepas melihat sebuah video TikTok memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan peperiksaan SPM mata pelajaran Sejarah.
Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Bagaimanapun selepas keterangan diambil, kedua-dua remaja tersebut dibebaskan dengan jaminan keluarga.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah mengesahkan perkara tersebut.
“Kedua-dua pelajar sudah dibebaskan dengan jaminan keluarga, dan kes masih diteruskan dan disiasat.
“Setakat ini tiada tindakan menarik semula laporan daripada pengadu terhadap kedua-dua pelajar tersebut,” katanya. – JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE