Seorang pekerja kilang maut selepas tersepit dalam mesin penarik fiber dalam sebuah kilang di Jalan Kemuning, Shah Alam pada Jumaat.
Mangsa merupakan seorang lelaki warga Bangladesh dikenali Md. Suruj Ali, 21, yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, seramai 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.06 pagi.
Katanya, berdasarkan maklumat awal lelaki tersebut tersepit pada mesin penarik fiber ketika sedang bekerja.
“Bomba mengambil masa 10 minit bagi mengeluarkan mangsa daripada mesin tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam sebuah kenyataan.
Zulfikar memaklumkan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – JURNAL