Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah diarahkan untuk bertemu dengan pemilik restoran Tong Kayu Kafe di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang terpaksa menghentikan jualan makanan Menu Rahmah kerana tidak mendapat sambutan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata arahan itu dilakukan untuk mencari punca sebenar dakwaan yang diperkatakan oleh pemilik restoran itu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kementeriannya sememangnya tidak menggalakkan untuk peniaga melakukan hanya penjualan Menu Rahmah.
“Sebaliknya, inisiatif itu perlu dilaksanakan dengan penjualan menu-menu lain, termasuk yang berharga premium.
“Sebenarnya kita panggil orang industri yang mempunyai nama seperti persatuan tomyam untuk bersama-sama menjalankan inisiatif itu, di samping mereka menjual menu-menu yang premium.
“Di samping penjualan menu-menu lain, terdapat juga Menu Rahmah dan adalah tidak benar untuk kita mengarahkan hanya penjualan Menu Rahmah sahaja.
“Tetapi untuk kes di sana (Bayan Lepas), kita sudah meminta pegawai KPDN berjumpa dengan pemilik restoran terbabit untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku,” katanya selepas melancarkan kempen ‘Klasiknya Raya’ oleh peruncit dan pemborong terbesar negara, Mydin, di Subang Jaya pada Rabu.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib.
Terdahulu pemilik restoran itu, Mohamad Fakhrullah Shahran, 30, mendakwa memperkenalkan hidangan Menu Rahmah nasi ayam kicap dan nasi ayam goreng kunyit berharga RM5 setiap satu hidangan sejak 18 Februari lalu.
Bagaimanapun, berikutan tiada sambutan dia terpaksa berhenti menjual hidangan itu Khamis lalu.
Selain tiada sambutan, kedudukan lokasi premis yang dikatakan kurang sesuai juga
menyebabkan pemilik restoran itu mengambil keputusan berkenaan.
Ditanya adakah KPDN tidak menggalakkan peniaga makanan kecil untuk turut menjayakan inisiatif berkenaan, Salahuddin menafikan perkara itu kerana Menu Rahmah mungkin menjadi ruang rezeki untuk sesetengah kelompok peniaga.
“Saya tidak mahu menyebut mengenai tidak menggalakkan (penjualan Menu Rahmah) kerana ketika ini semua peniaga boleh berbuat demikian, malah saya ada menerima laporan, peniaga di bawah pokok, di tepi jalan menerima jualan berganda hanya dengan memperkenalkan Menu Rahmah.
“Inisiatif ini mungkin menambah bilangan pelanggan peniaga seterusnya dilihat sebagai satu enjin ekonomi bagi kelompok ini,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH Online