Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memberi penjelasan berhubung tindakan parti itu memecat serta menggantung keahlian beberapa pemimpinnya.
Tanpa memberi perincian bila penjelasan itu akan diberi, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan akan berbuat demikian dalam satu majlis kelak.
“Tunggu saya akan jawab. Saya akan jawab dalam satu majlis nanti,” katanya dipetik dari laporan portal media ketika ditemui selepas menghadiri program Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Itu kenyataan ringkas dibuat beliau susulan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.
Terdahulu, beliau mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan hadir merasmikan program itu.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya malam tadi mengesahkan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT Umno Tan Sri Noh Omar dipecat dari parti itu.
Sementara, Ketua Umno bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan, Ketua Umno Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang dan Ketua Umno Bahagian Jempol Datuk Seri Mohd Salim Sharif digantung enam tahun, sementara Ahli MKT Datuk Dr Fathul Baru Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.
Turut dipecat malam tadi, lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli Umno negeri Pahang. – JURNAL
Sumber: Harian Metro