Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima permohonan notis merah terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang peguam hanya secara lisan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang mengulangi akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Insya-Allah ia (notis merah) akan disampaikan kepada kita nanti.
“Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan maklumat yang diberikan kepada kita untuk tindakan. Setakat ini ia (notis merah) hanya secara verbal,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siastaan Jenayah baharu di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, pada Selasa.
Yang turut hadir, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengumumkan untuk memohon notis merah Polis Antarabangsa (INTERPOL) terhadap dua individu yang dipercayai melarikan diri keluar negara.
BACA: SPRM Minta Imigresen Beku Pasport Menantu Muhyiddin
Kedua-dua mereka, Muhammad Adlan Berhan, 48, yang juga menantu Muhyiddin dan peguam Mansoor Saat, 69, disiasat SPRM berkaitan kes penyelewengan projek pendaftaran pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE