Pasukan Vietnam melangkah ke final Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022 selepas menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, malam tadi.
Penyerang Nguyen Tien Linh muncul wira skuad Golden Star Warriors selepas meledak kedua-dua gol untuk membantu pasukannya mencipta kejayaan di laman sendiri.
Keputusan tersebut sudah pasti membuatkan skuad Harimau Malaya teruja untuk bertemu Thailand pada malam ini sekaligus memastikan kemenangan untuk bertemu Vietnam dan menebus kekalahan dalam perlawanan lalu.
Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon, mengakui menjuarai Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menjadi sasaran pentingnya bersama skuad Harimau Malaya.
Ia diakui Pan Gon menjelang kemuncak pertembungan untuk slot final menentang juara bertahan Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat, malam ini.
Tambahan lagi kelebihan 1-0 tidak meletakkan Malaysia di kedudukan selamat menjelang kemuncak perebutan slot ke final.
Paling tidak, skuad Harimau Malaya hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat ke final Piala AFF 2022.
Sementara itu, jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun yang dilantik pada Januari tahun lalu, berkata jika Malaysia mara ke final kali ini, adalah satu penghormatan baginya untuk menggembirakan peminat bola sepak negara sebelum bertarung untuk mencapai kejuaraan.
“Secara peribadi bagi saya Piala AFF adalah kejohanan yang sangat menarik, ketika saya di Hong Kong dan Korea Selatan, saya berminat untuk menyaksikan kejohanan ini.
“Apabila dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, menjadi juara Piala AFF adalah antara salah satu sasaran penting.
“Jika kita ke final, ia merupakan satu penghormatan besar bagi membanggakan penyokong Malaysia,” katanya. – JURNAL