Seorang remaja lelaki direman tiga hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat melakukan aksi ‘wheelie’ semasa menunggang sebuah motosikal di Jalan Pasir Puteh, Peringat di sini baru-baru ini.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Ahad terhadap lelaki berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohammad Fitri Mokhtar di Mahkamah Majistret di sini.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan reman terhadap isteri suspek berusia 16 tahun yang membonceng motosikal ditunggangnya semasa kejadian dengan alasan remaja perempuan berkenaan hanya sebagai saksi pertuduhan dan perlu dibebaskan.
Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan aksi pasangan suami isteri membuat aksi ‘wheelie’ semasa menunggang motosikal.
BACA: [V] Polis Cari Penunggang Motosikal Buat Aksi Wheelie Pakai Baju Melayu
Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri remaja dicekup selepas terlibat dengan aksi ‘wheelie’ semasa menunggang motosikal di Jalan Pasir Puteh, Peringat di sini baru-baru ini.
Suami yang berusia 17 tahun dan isterinya, 16 tahun ditahan semasa mereka berdua menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek hadir ke IPD Kota Bharu selepas dua hari menghilangkan diri apabila diburu polis.
“Sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu menyerbu sebuah rumah di Kampung Machang, Peringat di sini kira-kira pukul 6.50 petang kelmarin selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
“Kedua-dua suspek tiada di rumah berkenaan dan dipercayai telah melarikan diri. Polis merampas sebuah motosikal jenis Honda C-110B yang dinaiki kedua-dua suspek selain sepasang baju melayu dan baju kurung berwarna biru semasa kejadian di rumah tersebut,” katanya.
Tambah Mohd. Rosdi, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – JURNAL
Sumber: KOSMO!