Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak akan melupakan jasa dan sumbangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, dalam parti tersebut walaupun kini berbeza wadah perjuangan.
Perkara tersebut dizahirkan PAS menerusi kenyataan di Facebook, dalam sebuah kenyataan.
PAS turut menyifatkan pemergian Allahyarham Salahuddin pastinya menjadi kehilangan besar buat negara.
“Semoga Allah memberikan ketabahan, kemudahan buat seluruh keluarga, mengampunkan dan mencucuri rahmat ke atas Allahyarham.
“Sesungguhnya kematian itu pasti. Tidak Allah cepatkan atau lambatkan walau sedetik. Ampunkan dia, rahmatilah dia dan sejahterakanlah dia Ya Allah,” kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Sementara itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin di atas pemergiannya pada jam 9.23 malam tadi.
Beliau turut mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat ke atasnya dan diampunkan segala dosanya.
“Mendapat khabar berita YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah kembali ke rahmatullah malam ini.
“Takziah kami ucapkan kepada seluruh ahli keluarga almarhum. Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam, Ahad.
Jenazah dibawa dengan penerbangan MAS dari Alor Setar ke Johor Bahru kira-kira jam 1 pagi tadi dan dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.
Ziarah jenazah di kediaman Allahyarham pula ditetapkan pada jam 10 pagi di TL7, Jalan Adil, Serkat, manakala solat jenazah dijadualkan pada jam 11 pagi di Masjid Jamek Dato’ Hj Noh Gadot, Serkat.
Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor, pada jam 12 tengah hari. – JURNAL