Panggilan ‘sayang’ atau ‘dear’ terhadap rakan sekerja, menghantar mesej berbaur seks selain menjalin hubungan sulit merupakan antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib terhadap penjawat awam.
Perkara tersebut antara jenis gangguan seksual yang disenaraikan di dalam surat edaran bertarikh 7 April dimuat naik menerusi laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Berdasarkan Surat Edaran Senarai Semak Dokumen Tindakan Tatatertib Bengkel Tata Kelola Urusan Tatatertib 2023 itu, ia menjelaskan mengenai kesalahan berhubung kes gangguan seksual dan menjalinkan hubungan sulit.
“Bagi gangguan seksual secara lisan atau audio, kesalahan tersebut antaranya perkataan atau ayat yang diucapkan oleh pegawai yang mengganggu, misalnya panggilan ‘sayang’ atau ‘dear’.
“Gangguan seksual secara fizikal atau sentuhan pula, sekiranya aduan dibuat perlu dinyatakan secara spesifik, sebagai contoh sentuh, pegang, raba, cium, cubit, usap, peluk, merapati atau lain-lain.
“Seterusnya gangguan seksual secara visual (gambar atau WhatsApp) pula, perbuatan yang dilakukan seperti menghantar gambar tidak senonoh, berbaur seks dan ‘sexting’,” menurut surat tersebut.
Turut menjadi kesalahan bagi penjawat awam ialah menjalinkan hubungan atau hubungan sulit yang boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Sementara itu, kesan gangguan seksual kepada mangsa antaranya seperti fikiran terganggu, perasaan kurang senang atau rasa terhina.
Justeru, aduan yang dikemukan berkaitan gangguan seksual ini perlu dinyatakan antaranya tempat bertugas semasa kesalahan berlaku, tempat, tarikh dan masa kejadian, perbuatan yang dilakukan serta lain-lain lagi.
Semua kesalahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. – JURNAL