Boleh dikatakan arena e-Sukan di Malaysia kini berada pada tahap cemerlang terutamanya dalam permainan Player Unknown Battleground (PUBG).
Baru-baru ini seorang pemain PUBG yang pernah mewakili negara ke pentas antarabangsa telah dikurniakan darjah kebesaran iaitu Pingat Jasa Kebaktian Negeri Sembilan.
Muhammad Izzudin Hashim atau dikenali sebagai Jumper bukanlah asing lagi di arena e-Sukan tempatan, bahkan antara pemain PUBG terbaik dari Malaysia.
Anak muda kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu dianugerahkan pingat oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Besar di Seri Menanti.
Pingat berkenaan diberikan kepada sesiapa yang berbakti dan berjasa kepada negeri serta menunjukkan kebolehan luar biasa yang cemerlang.
Pencapaian Jumper termasuklah pernah mewakili negara dalam kategori individu dan pasukan untuk acara PUBG Mobile di Sukan SEA ke-31 di Vietnam.
Jumper bersama pasukan 4Rivals turut mempamerkan prestasi yang cemerlang pada acara PUBG Mobile Global Championship 2022. – JURNAL