Orchidmas International LLC, anak Syarikat Orchidmas Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Putrajaya menyasarkan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi dan Arab Saudi sebagai destinasi eksport orkid Malaysia menjelang 2025.
Dalam satu kenyataan media, Penasihat projek rintis Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD), Ts. Mohamad Nizam Malik berkata, sasaran itu bergantung kepada kejayaan sasaran pengeksportan ke Dubai yang dijangka bermula pada Ogos tahun ini.
“Kami menyasarkan sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan AED230 juta atau RM300 juta nilai eksport produk florikultur ke Dubai setahun. Projek LEOD yang akan memulakan operasi pengeluaran pada bulan depan dijangka menghantar konsainan pertama ke Dubai pada Ogos,” katanya pada majlis pelancaran Kotak Hadiah Emas Orkid Malaysia di Al-Habtoor Palace, Dubai baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian Pembangunan Industri Florikuktur), Jabatan Pertanian Malaysia berkata, setakat ini, fasa pertama LEOD melibatkan tiga kawasan seluas 29.14 hektar di Linggi dan Lukut di Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian (Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Khalid Ibrahim berkata, fasa pertama LEOD itu merupakan usaha awal mengeksport produk orkid ke negara- negara teluk melalui Dubai.
“Ladang berkenaan yang dilengkapi peralatan berteknologi tinggi iaitu Internet Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dijangka mengeluarkan sejumlah 3.88 juta keratan orkid Mokara setiap tahun,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kotak Hadiah Emas Orkid Malaysia mewakili Ketua Setiausaha KPKM.
Ketua Pegawai Eksekutif, Orchidmas International LLC, Shiz Kassim pula berkata, sebagai ejen pemasaran, pembungkusan dan penjenamaan orkid Malaysia, syarikatnya berharap dapat memenuhi sasaran pengeksportan bermula Ogos nanti.
“Untuk urusan pemasaran, Orchidmas akan berkolaborasi dengan Fresh and Best General Trading untuk melancarkan jualan dan promosi di Dubai melalui platform e- perdagangan (orchidmas.com). Produk orkid hibrid Mokara ini akan dijadikan bunga keratan untuk dieksport dalam bentuk kotak hadiah dengan konsep ‘Sedia untuk Dipamerkan’ (Ready-to-Display) yang akan memberi nilai tambah kepada produk itu.
“Untuk koordinasi semua operasi logistik darat dan udara dari Malaysia ke Dubai, kami akan berkolaborasi dengan rakan strategik kami, Emirates SkyCargo,” katanya.
Sebanyak 270 Kotak Hadiah Emas Orkid Malaysia dilancarkan pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 pengusaha hotel dan usahawan Emiriah Arab Bersatu. – JURNAL