Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Vijayaletchumy, 48, yang hilang akibat insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, kini memasuki hari keenam tanpa sebarang petunjuk positif.
Usaha pencarian semalam di loji ‘end point’ di Pantai Dalam tidak membuahkan hasil.
Sebagai langkah terbaru, pasukan penyelamat telah menggunakan alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) untuk mengesan wanita warga India tersebut.
Namun, pencarian masih belum menemui mangsa.
Tinjauan di kawasan kejadian mendapati beberapa premis perniagaan telah kembali beroperasi, sementara sebahagian lagi masih ditutup.
Penutupan jalan di sekitar lokasi semakin diperluas dan dipantau ketat oleh pihak berkuasa, susulan berlakunya mendapan tanah baru di sekitar Pondok Polis Masjid India pada pukul 2.30 pagi tadi.
Lubang mendapan tersebut terletak kira-kira 50 meter dari lokasi insiden asal.
Sekitar pukul 11.15 pagi tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, telah turun padang untuk meninjau keadaan di kedua-dua lokasi berkenaan.
Insiden yang berlaku pada 8.22 pagi, Jumaat lalu, telah menyebabkan Vijayaletchumy, seorang pelancong dari India, dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.
Operasi SAR masih giat diteruskan dengan harapan dapat membawa hasil yang positif. – JURNAL
Sumber: Kosmo!