Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, masih menemui jalan buntu.
Pada hari ketiga operasi yang bermula seawal 9.30 pagi, pasukan SAR yang terdiri daripada 104 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi keselamatan, masih gagal menemukan sebarang petunjuk walaupun telah memeriksa lima daripada enam lurang kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK).
Berikutan itu, satu mesyuarat telah diadakan oleh agensi terlibat, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta IWK, yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif. Mesyuarat tersebut memutuskan untuk menggunakan teknik ‘flushing’ di lurang lima dan enam, berhampiran Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar serta Bulatan Kinabalu, kerana arus di lokasi tersebut perlahan, dipercayai akibat sekatan atau puing.
Operasi malam tadi yang diselaras oleh IWK masih diteruskan.
Insiden ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi jaminan bahawa operasi SAR akan diteruskan sehingga mangsa ditemukan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, juga menegaskan bahawa tempoh operasi tidak ditetapkan dan akan berlanjutan sehingga mangsa dijumpai.
Di samping itu, penghuni 160 unit di Flat Malayan Mansion, seramai lebih 800 orang, meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka, memandangkan insiden tanah jerlus berlaku kurang dari 50 meter dari kediaman mereka.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dr Maimunah, menjelaskan bahawa situasi di Kuala Lumpur, termasuk di Jalan Masjid India, adalah selamat dan tiada bukti kukuh yang menunjukkan risiko berlakunya ‘giant sinkhole’.
Namun begitu, pihak berkuasa tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menubuhkan pasukan khas bersama Jabatan Geologi dan Jabatan Kerja Raya untuk memantau keadaan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian