Terengganu kini berdepan cabaran angin kencang, ombak besar, dan fenomena air pasang yang menyebabkan banjir melanda dua daerah utama, Kemaman dan Dungun. Situasi ini memaksa 299 penduduk daripada 78 keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu melaporkan dua PPS dibuka di Kemaman, manakala satu lagi di Dungun.
“Seramai 194 mangsa daripada 50 keluarga kini berlindung di PPS Dewan Serbaguna Kampung Kuala Kemaman. Manakala, PPS Balai Raya Kampung Geliga Pantai menempatkan 91 orang daripada 23 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, di Dungun, PPS Balai Raya Bandar Paka menempatkan 14 orang daripada lima keluarga yang turut terjejas akibat situasi ini.
Pihak JPBN mengesahkan bahawa pemantauan rapi sedang dilakukan bagi menghadapi ancaman angin kencang dan air pasang besar yang dijangka berlanjutan sehingga esok.
Penduduk dinasihatkan agar berwaspada dan segera berpindah jika keadaan rumah mereka mula terjejas. Bantuan segera terus diberikan bagi memastikan keselamatan mangsa banjir sepanjang tempoh perpindahan ini. – JURNAL
Sumber: Kosmo!