Polis mengesahkan objek mencurigakan yang diisi dalam dua botol plastik yang diletakkan di bawah kereta aktivis dan peguam Siti Kasim adalah bahan letupan termampat (IED).
Pengesahan itu dibuat selepas sepasukan pegawai dari Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan ujian letupan ke atas objek diletakkan pada bahagian brek di tayar belakang kereta yang dihantar ke pusat servis di Jalan Maarof, Bangsar, pada Jumaat lalu.
Polis turut mengesyaki bom buatan sendiri yang diletakkan di bawah kereta Siti Kassim sebagai cubaan bunuh.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain yang berkaitan.
“Penemuan objek bom itu adalah satu jenayah serius dan ancaman terbabit umpama cubaan membunuh.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razarudin berkata, polis mengambil tindakan agresif dalam siasatan dan tidak akan membiarkan individu tidak bertanggungjawab melakukan jenayah sedemikian.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan.
Pada Jumaat lalu, Siti Kasim dalam siaran langsung Facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.
Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis pada jam 12 tengah hari. – JURNAL