Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, mengumumkan pelancaran cip permainan generasi baharu dikenali sebagai RTX 50-series dalam ucaptama pada pameran teknologi CES di Las Vegas. Cip ini menggunakan teknologi Blackwell Artificial Intelligence (AI) milik Nvidia, mencipta grafik berkualiti filem dengan keupayaan yang lebih pantas berbanding model sebelumnya.
Cip RTX 50-series ini akan ditawarkan pada harga bermula $549 (RM2,570) hingga $1,999 (RM9,350) dan dijadualkan berada di pasaran mulai akhir Januari. Dalam demonstrasi secara langsung, Huang memukau penonton dengan paparan grafik berdefinisi tinggi yang mempamerkan tekstur terperinci dan pergerakan dinamik.
“Ia sangat hebat. Sebelum ini, kami hanya beranggapan grafik sebegini perlu dirender terlebih dahulu,” kata Gary Yang, pelajar pascasiswazah dalam bidang robotik di California Institute of Technology.
Scott Epstein dari syarikat teknologi Agenovate AI pula kagum dengan inovasi Nvidia.
“Mereka terus mencipta revolusi baharu,” katanya.
Nvidia, ditubuhkan pada 1993, bermula dengan pengeluaran cip grafik komputer untuk permainan video. Kini, syarikat ini menjadi peneraju dalam pembangunan cip AI dengan nilai pasaran melebihi $3 trilion.
Bagaimanapun, kejayaan Nvidia turut diiringi cabaran daripada badan pengawal selia di Amerika Syarikat, UK, Kesatuan Eropah, Korea Selatan, dan China yang menyiasat dominasi Nvidia dalam pasaran cip AI.
CES tahun ini dijangka menarik lebih 150,000 pengunjung dengan lebih 4,500 pempamer, menjadikan cip RTX 50-series tumpuan utama acara tersebut. – JURNAL
Sumber: BBC