“Perkahwinan secara poligami ini indah seandainya diterjemahkan dengan pemahaman daripada Al-Quran dan Hadis, bukan mengikut nafsu.”
Demikian coretan Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid yang terpanggil untuk berkongsi pandangan berkenaan kontroversi melibatkan kemelut rumah tangga pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof dan isterinya, Puteri Sarah.
Nurul yang juga anak kepada Timbalan Perdana Menteri turut memohon maaf jika ulasannya agak keras.
“Maaf jika ulasan saya agak keras,” katanya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram (IG)nya semalam, Nurul turut mengagumi ketabahan dan kecekalan Puteri Sarah.
“Saya bersimpati kepada Puteri Sarah, sesuai dengan namanya Sarah seorang yang cekal dan tabah.
“Kepada lelaki jangan berselindung di sebalik sunnah kerana Nabi Muhammad SAW sendiri bernikah atas perintah Allah SWT. Dan perempuan atau wanita tolong tahu diri, menikahi seseorang boleh terjadi atas dua sebab iaitu jodoh dan bodoh,” ujarnya.
Dalam hantaran sama Nurul turut berkongsi kenangan manis bersama Allahyarhamah madunya yang dipanggil kakak serta rasa rindu terhadap wanita yang disayanginya itu.
Katanya, dia sempat bergelar madu selama tiga tahun sahaja kerana isteri pertama kepada suaminya itu meninggal dunia kerana kanser.
Selain kenangan indah ketika dipinang oleh madunya itu, Nurul sempat menulis coretan mengenai sunnah dan perintah.
“Terlebih dahulu saya mohon maaf jika penulisan saya ini bakal menyimbah minyak kepada api yang sedang marak menyala,” katanya memulakan coretan.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri meraih perhatian ramai selepas pengarah dan pelakon Impak Maksima itu membuat pengakuan sudah menikahi Ira Kazar di Thailand, pada Jumaat. – JURNAL