Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dikhabarkan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam masa terdekat.
Keputusan ini dipercayai berpunca daripada kontroversi melibatkan kehadiran ahli keluarganya pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
“Melihat pelbagai reaksi ketika ini, perasaan saya menyatakan perlu meletakkan jawatan daripada BAM. Saya berharap pemimpin seterusnya dapat memperbaiki keadaan badminton negara kita,” katanya kepada The Star pada Rabu.
Pada Mei lalu, Mohamad Norza telah meluahkan hasrat untuk berundur dari memimpin badan induk badminton negara selepas Sukan Olimpik Paris pada Ogos.
Beliau menegaskan bahawa peranannya dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan BAM dilakukan secara pro bono.
“Saya tidak menerima sebarang gaji atau elaun daripada kedua-dua pertubuhan ini. Saya hanya mahu membantu membawa kegemilangan dan kebanggaan kepada negara,” jelasnya.
Kontroversi yang melibatkan kehadiran ahli keluarganya di venue pertandingan di Paris telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif.
Ahli keluarganya dilihat memakai kad akreditasi, namun Mohamad Norza menjelaskan bahawa mereka memiliki kuota khas berasingan untuk membawa tetamu sendiri.
Kuota tersebut tidak menjejaskan kad akreditasi yang diperuntukkan buat kontinjen negara yang terdiri daripada jurulatih, atlet, dan pegawai sokongan.
“Serangan terhadap keluarga saya sama sekali tidak perlu. Keluarga saya tidak wajar melalui semua ini,” ujarnya lagi. – JURNAL
Sumber: The Star