Nombor pendaftaran kenderaan ‘FF1’ menjadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, selepas berjaya membidanya dengan tawaran RM1.2 juta.
Nombor pendaftaran berkenaan adalah turutan nombor baharu bagi Putrajaya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, hari ini, yang mempersembahkan nombor pendaftaran kenderaan ‘FF1’ itu kepada baginda secara simbolik.
Anthony turut berkongsi momen tersebut menerusi laman sosial Facebooknya.
“Pagi tadi, saya menghadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut.
“Tuanku telah berkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut!
“Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan!
“Bayaran ini menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat ke RM35.4 juta!
“Menjunjung kasih Tuanku! #MalaysiaMadani,” kongsi beliau.
Pada 1 Julai 2016, Sultan Ibrahim memenangi bidaan nombor pendaftaran kenderaan ‘F1’ iaitu turutan nombor baharu bagi Putrajaya pada nilai RM836,660.
Baginda secara sah menjadi pemilik nombor pendaftaran ‘VR46’ dengan nilai bidaan tertinggi iaitu RM55,002.20 pada 8 Februari 2017.
Pada 26 Mei 2012, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenaraikan pemilik nombor pendaftaran kenderaan paling mahal dalam sejarah Malaysia adalah Sultan Johor dengan nilai RM520,000 untuk nombor pendaftaran ‘WWW1’. – JURNAL