Pengeluar automotif gergasi Jepun, Nissan, mengumumkan pengurangan sebanyak 9,000 tenaga kerja di seluruh dunia dalam usaha menjimatkan kos ketika jualan di China dan Amerika Syarikat mengalami penurunan. Langkah drastik ini akan menyaksikan pengeluaran global Nissan dikurangkan sehingga 20%.
Pengumuman ini turut disertai penurunan ramalan keuntungan operasi sebanyak 70% untuk tahun 2024, kali kedua Nissan terpaksa menurunkan unjuran tahunannya. Walau bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makoto Uchida, menegaskan bahawa langkah ini bukan bertujuan untuk mengecilkan operasi syarikat.
“Langkah pemulihan ini akan menjadikan Nissan lebih ramping dan tahan lasak,” katanya.
Untuk memberi contoh kepimpinan, Uchida turut bersetuju memotong separuh gajinya, diikuti pengurangan gaji dalam kalangan eksekutif kanan lain. Saham Nissan turut mencatatkan penurunan lebih 6% pada pagi Jumaat di Tokyo.
Di pasaran China, persaingan yang semakin sengit dengan pengeluar tempatan seperti BYD menyebabkan Nissan menghadapi kesukaran, manakala di AS pula, inflasi dan kadar faedah yang tinggi telah menjejaskan jualan kenderaan baharu. Keadaan ini memaksa pengeluar kenderaan mengurangkan harga, sekali gus mengurangkan keuntungan mereka.
Di sebalik cabaran ini, Nissan masih komited dalam pengeluaran kenderaan elektrik di Eropah. Pada November lalu, syarikat itu dan rakan kongsi mengumumkan pelaburan £2 bilion untuk membangunkan tiga model elektrik baharu di kilang Sunderland, termasuk model Qashqai dan Juke elektrik serta generasi baharu Leaf. – JURNAL
Sumber: BBC