Nisbah guru dan murid di negara ini berada pada tahap lebih baik berbanding negara lain seperti Singapura dan Amerika Syarikat (AS).
Tahun lalu, nisbah guru dan murid sekolah rendah ialah seorang guru kepada 12.87 murid di Semenanjung, manakala seorang guru kepada 11.70 murid di Sabah dan seorang guru kepada 9.99 murid di Sarawak.
Singapura mencatatkan nisbah 13.84 dan AS pula 13.57.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata nisbah guru dan murid bagi sekolah menengah di Semenanjung pula ialah seorang guru kepada 11.26 murid, seorang guru kepada 12.87 murid di Sabah dan seorang guru kepada 12.55 murid di Sarawak dengan Singapura mencatatkan nisbah 11.63 dan AS (14.74).
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut).
Fadhlina berkata berdasarkan data pada 30 September 2023, sebanyak 2,065 daripada 10,233 sekolah adalah Sekolah Kurang Murid (SKM) mengikut kriteria Anggaran Belanja Mengurus (ABM).
“SKM menjadi penyumbang kepada ketidakseimbangan saiz kelas bagi sekolah-sekolah di bandar dan luar bandar.
“SKM mencatatkan nisbah murid-guru iaitu 5.48. Walau bagaimanapun, sebanyak 8,168 sekolah bukan kurang murid mencatatkan nisbah murid-guru bagi peringkat rendah ialah 12.60 manakala peringkat menengah ialah 11.81,” katanya.
Menjawab soalan jumlah guru kontrak yang diambil pada 2022 dan 2023 dan berapa yang diserap sebagai perjawatan tetap, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa prihatin terhadap bekalan guru di seluruh negara bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata KPM melaksanakan pengambilan guru secara lantikan ‘Contract of Service’ (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan yang tidak dapat ditampung oleh graduan pendidikan.
Katanya, guru-guru lantikan CoS akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) sebelum dilantik tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Pada 2022, seramai 2,292 orang guru CoS telah dilantik. Daripada jumlah itu, seramai 241 orang guru CoS memenuhi syarat dan dilantik tetap oleh SPP, manakala baki guru CoS yang tamat PDPP sedang dalam proses temu duga untuk dilantik tetap oleh SPP.
“Bagi urusan pengambilan guru CoS tahun 2023 pula, SPP baharu sahaja mengumumkan keputusan temu duga lantikan guru CoS seramai 6,313 orang pada 8 Februari 2024,” katanya.
Sementara itu menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) sama ada akses pendidikan ketika ini telah mencapai 100 peratus di seluruh negara, Fadhlina berkata tahun lalu kadar penyertaan murid peringkat rendah adalah 99.11 peratus, melebihi kadar enrolmen sejagat 95 peratus.
Beliau berkata pada peringkat menengah kadar penyertaan murid sebanyak 93.63 peratus, merangkumi sekolah bandar dan luar bandar. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN