Netflix berjaya mencatat rekod tambahan 19 juta pelanggan baru pada suku akhir 2024, menjadikan keseluruhan pelanggannya kini melebihi 300 juta. Kejayaan ini disokong oleh pelaburan besar dalam siri dan filem, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju penstriman dunia.
Dalam laporan terkininya, Netflix merekodkan keuntungan sebanyak AS$1.87 bilion dengan pendapatan mencecah AS$10.25 bilion, peningkatan dua digit berbanding tahun sebelumnya. Langganan premium dan standard di AS masing-masing naik sebanyak AS$2 kepada AS$25 dan AS$18, manakala pakej asas dengan iklan kini berharga AS$8.
“Kami terus melabur dalam program berkualiti dan memberikan lebih nilai kepada pelanggan. Namun, sekali-sekala kami perlu meminta pelanggan membayar sedikit lebih untuk membolehkan kami terus menambah baik Netflix,” kata Netflix kepada pelabur.
Syarikat ini mengukuhkan lagi kedudukan menerusi siri sensasi seperti Squid Game yang terus kekal sebagai rancangan paling banyak ditonton. Siri ini bukan sahaja mencerminkan budaya pop global tetapi turut mengukuhkan status Korea Selatan sebagai kuasa besar budaya dunia.
Rancangan masa depan termasuk musim baharu siri hit Wednesday dan Stranger Things, serta program sukan seperti WWE dan NFL, dijangka terus menarik pelanggan baharu.
Netflix turut memanfaatkan kejayaan perkhidmatan berasaskan iklan yang kini menyumbang lebih 55% pendaftaran di negara terpilih, dengan peningkatan hampir 30% dari suku sebelumnya.
“Perniagaan ini kekal kompetitif dengan cabaran dari gergasi hiburan dan teknologi lain. Kami akan terus memperbaiki Netflix, termasuk keupayaan pengiklanan, rancangan langsung, dan permainan video,” tambah Netflix.
Saham Netflix melonjak lebih 80% sepanjang tahun lalu, menjadikannya salah satu syarikat dengan prestasi terbaik dalam pasaran teknologi. – JURNAL