Lembaga Penapis Filem (LPF) memaklumkan Pulau adalah naskhah seram dan bukannya filem porno seperti digembar-gemburkan segelintir pihak.
Kata agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, treler Pulau yang didakwa memaparkan babak panas hanya ditayang secara dalam talian melalui medium internet.
“LPF ambil maklum isu yang berbangkit bagi filem bertajuk Pulau yang rancak diperkatakan dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia setelah kempen promosinya dimulakan melalui hebahan poster dan treler di media sosial.
“LPF mendapati terdapat perbezaan antara kandungan treler dengan kandungan filem sebenar seperti yang dikemukakan bagi tujuan penapisan,” jelas agensi berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, LPF sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya tempatan dan telah melaksanakan proses penapisan mengikut garis panduan ditetapkan. – JURNAL