Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada India susulan nahas kereta api penumpang yang mengakibatkan ratusan nyawa terbunuh atau cedera pada Jumaat.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengucapkan takziah dan mendoakan kesembuhan kepada mereka yang cedera dalam tragedi yang berlaku di negeri Odisha itu.
“Kami bersama-sama dengan rakyat India pada masa yang sangat sukar ini,” katanya menerusi Twitter.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi pada Sabtu turut menyatakan simpati kepada India atas tragedi itu.
“Kami bersama dengan kerajaan dan rakyat India mendoakan misi menyelamat akan berjaya dan kami juga turut bersimpati kepada waris mangsa,” menurut misi diplomatik Malaysia itu di Twitter.
Perdana Menteri India Narendra Modi yang melawat lokasi nahas di daerah Balasore Odisha pada Sabtu, berikrar akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang didapati bersalah menyebabkan berlakuya nahas itu yang melibatkan tiga kereta api.
Dalam kejadian itu, kereta api Coromandel Express yang dalam perjalanan menuju ke Chennai bertembung dengan kereta api Yesvantpur-Howrah Superfast sebelum satu daripada kereta api berkenaan melanggar kereta api barang.
Nahas itu meragut hampir 300 nyawa dan mencederakan kira-kira 900 yang lain.
Pegawai kereta api India berkata kerja-kerja membersihkan lokasi nahas dan membaik pulih landasan sedang dijalankan.
Tragedi itu telah mencetuskan persoalan mengenai piawaian keselamatan dan pembiayaan terhadap rangkaian rel India.
India mempunyai kira-kira 67,000 kilometer landasan kereta api dan mengendalikan 14,000 kereta api setiap hari. – JURNAL
Sumber: BERNAMA