Syarikat peruncit terkenal, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu mangsa banjir di Kelantan dengan mempermudahkan urusan pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming.
Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, Khairul dan pasukan sukarelawannya diberi kebenaran mengambil barangan keperluan di Mydin tanpa perlu membuat sebarang pembayaran segera.
“Awak boleh ambil barang seberapa banyak yang awak mahukan. Tak perlu bayar dahulu. Beritahu saja limit belanja, sama ada RM20,000, RM50,000, atau RM100,000,” ujar Ameer menerusi panggilan video yang tular di media sosial.
Ameer menyatakan keyakinannya terhadap integriti Khairul Aming dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Lepas habis banjir nanti, barulah awak bayar. Kita percaya Khairul Aming,” tambahnya lagi.
Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.
“Baik Datuk, terima kasih banyak-banyak. Assalamualaikum,” ucapnya.
Buat masa ini, situasi banjir di Kelantan semakin kritikal dengan hampir 100,000 penduduk terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Bantuan segera seperti ini diharap dapat meringankan beban mangsa banjir yang terkesan. – JURNAL