Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menulis ciapan mengenai ciri-ciri isteri derhaka dan tabiat yang tidak patut dilakukan isteri di akaun Twitter miliknya, pagi tadi.
Ciapan tersebut dibuat selepas terpalit kontroversi rakaman video pergaduhan seorang wanita dengan lelaki miripnya yang tular di media sosial, baru-baru ini.
“Ciri-ciri isteri derhaka pada suami adalah tidak mensyukuri kebaikan dilakukan suami; suka menyakiti hati suami; melayani lelaki lain tanpa pengetahuan suami; keluar rumah tanpa izin suami dan meminta cerai daripada suami,” katanya.
Selain itu beliau juga menasihati para isteri supaya tidak mengamalkan tabiat menghina dan mengumpat suami di depan orang lain; meninggi suara dan mengherdik suami; keluar rumah sesuka hati tanpa izin suami; mendoakan kecelakaan buat suami; membenci kegemaran suami dan menjadi tekanan kepada suami.
“Isteri derhaka kepada suami tempatnya adalah neraka jahanam,” ciap Musa.
Terdahulu, Jurnal melaporkan Musa meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
Sebelum itu, tular rakaman video pendek memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak. – JURNAL