Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan dalam satu ceramah di Felda Perasu, pada 14 Ogos lalu.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun menegaskan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa kerana menyebut kata-kata yang berunsur hasutan dalam ceramahnya. Antara yang disebut oleh beliau ialah:
“Saya nak ceritakan mungkin orang Nenggiri ingatkah… tak ingat. Saya waktu itu, sekali lagi diberikan sokongan ada 115 Ahli Parlimen yang sokong saya. Ikut Perlembagaan kalau saya sebagai Ahli Parlimen ada dapat sokongan 114, campur saya Muhyiddin Yassin ada satu Parlimen jadi 115. Kerusi Parlimen 222. Kalau bahagi 2 berapa? 111… kalau dapat lebih 1 dia boleh bentuk kerajaan. Tapi saya dapat 115. Kalau ikut kiraan Perlembagaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi Perdana Menteri. Ini bukan nak mengungkit tapi it’s a record of history. Tapi entah macam mana Yang Dipertuan Agong waktu itu tak ajak jemput saya pergi Istana angkat sumpah. Siapa yang Dipertuan Agong dulu? Faham dah la eh. Kita tak nak cerita apa-apa buruk eh, tapi yang itu bagi saya agak luar biasa…tapi takpe lah. Maka lepas tu terbentuklah kerajaan Perpaduan… sekarang ni kita panggil kerajaan Madanon.”
Kesalahan ini didakwa dilakukan berhampiran Dewan Semai Bakti, Felda Perasu di Gua Musang, antara jam 10.30 hingga 11.50 malam, 14 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Pendakwaan diketuai oleh enam Timbalan Pendakwa Raya, dengan Datuk Umar Saifuddin Jaafar sebagai ketua, manakala Muhyiddin diwakili oleh lima peguam termasuk Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah, dan Mariana Mat Kudin.
Dalam prosiding tersebut, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM20,000 dan mencadangkan perintah larangan bersuara terhadap isu berkaitan. Bagaimanapun, Amer Hamzah menyifatkan jaminan tersebut sebagai tidak wajar dan keterlaluan, merujuk kepada kes terdahulu melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang hanya dikenakan jaminan RM5,000.
Beliau turut berhujah bahawa jaminan RM5,000 adalah memadai, dan tidak perlu mengenakan sebarang perintah larangan bersuara memandangkan isu tersebut telah diketahui umum.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dan menolak permohonan perintah larangan bersuara oleh pihak pendakwaan. Sebutan semula kes dijadualkan pada 4 November.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di mahkamah sekitar jam 8.43 pagi, diiringi oleh pimpinan parti termasuk Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa Muhyiddin disiasat mengikut Akta Hasutan susulan ceramahnya yang dikaitkan dengan isu Raja, Agama, dan Kaum (3R) dalam kempen PRK Dun Nenggiri baru-baru ini.
Polis menerima 30 laporan berkaitan ucapan Muhyiddin, dan 66 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16, turut tular di media sosial, mencetuskan kontroversi. – JURNAL
Sumber: Harian Metro