Management and Science University (MSU) terus mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan melonjak 26 anak tangga dalam QS World University Rankings: Asia 2025, kini berada di kedudukan ke-129. Ini merupakan peningkatan ketara selepas berada di kedudukan ke-155 pada tahun sebelumnya dan ke-177 pada 2023, memperkukuh status MSU sebagai institusi pendidikan tinggi yang berprestasi cemerlang di Asia Tenggara, khususnya di kedudukan ke-28 di rantau ini.
Menurut kenyataan MSU, pencapaian ini melengkapi kedudukannya di peringkat global sebagai universiti terbaik ke-580 dalam QS World University Rankings (WUR) 2025. Penilaian ini berasaskan 11 indikator penting, termasuk Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Nisbah Pelajar-Fakulti, dan Jaringan Penyelidikan Antarabangsa.
“Kejayaan ini membuktikan MSU berada di landasan tepat dengan visi melahirkan graduan berpersonaliti holistik, kompeten, dan bertaraf antarabangsa,” jelas kenyataan tersebut.
MSU mencatat skor tertinggi dalam indikator Pelajar Pertukaran Keluar (skor 100, kedudukan ke-7), Nisbah Pelajar Antarabangsa (skor 100, kedudukan ke-15), Nisbah Fakulti Antarabangsa (skor 99.9, kedudukan ke-22), dan Pelajar Pertukaran Masuk (skor 99.6, kedudukan ke-26).
Penekanan MSU terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, jalinan industri, keusahawanan, dan kelestarian juga menjadi kekuatan utama universiti ini, seiring dengan misinya Transforming Lives, Enriching Future iaitu memperkasakan pendidikan untuk masa hadapan yang lebih baik, merentasi semua peringkat masyarakat di Malaysia dan antarabangsa. – JURNAL
Sumber: Berita Harian