Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan bahawa mereka tidak menanggung kos perbelanjaan delegasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sepanjang Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam kenyataan hari ini, MSN memaklumkan mereka hanya menanggung kos atlet, jurulatih, pegawai MSN, Institut Sukan Negara (ISN), dan operasi Malaysia House di Paris bagi temasya kali ini.
“Kos pembiayaan delegasi MOM adalah di bawah tanggungan MOM, manakala kos tetamu mereka dibayar oleh pihak berkenaan tanpa membabitkan dana kerajaan,” jelas MSN.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria, dirakam duduk bersama isteri dan anak lelakinya di Arena Porte de La Chapelle semasa perlawanan penentuan pingat gangsa antara beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark yang telah menimbulkan persoalan mengenai isu kad akreditasi.
Netizen juga mempersoalkan ketiadaan jurulatih Goh Jin Wei, Nova Armada, yang tidak dapat mengiringi pemain kerana kad akreditasi terhad.
MOM kemudian menjelaskan bahawa terdapat peruntukan khas kad akreditasi untuk tetamu pegawai tertinggi mereka di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, kad akreditasi ini, yang diluluskan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, tidak sama dengan yang diberikan kepada kontinjen Malaysia termasuk atlet, jurulatih, dan kakitangan sokongan. – JURNAL