Rangkaian kedai buku terkenal, MPH Bookstores, kembali beroperasi di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya, dengan melancarkan cawangan ke-10 mereka selepas dua tahun ditutup akibat pandemik Covid-19. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Cawangan baharu ini tampil dengan reka bentuk kontemporari yang menggunakan elemen kayu cerah dan perincian gangsa, selari dengan gaya moden kedai utama MPH di The Exchange TRX, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif MPH Bookstores, Martin Cross, menyatakan keterujaannya untuk kembali ke lokasi lama dengan wajah baharu.
“Kami sangat teruja untuk kembali dengan lebih baik dan berani. Reka bentuk kedai ini direka khusus untuk menjadi ruang yang dihargai pembaca, keluarga, dan pengunjung,” katanya.
Cawangan ini yang berkeluasan 5,000 kaki persegi menawarkan pelbagai pilihan buku fiksyen dan bukan fiksyen dalam Bahasa Inggeris dan Melayu, termasuk koleksi buku ulang kaji sekolah.
Martin juga menyifatkan pembukaan semula ini sebagai langkah penting dalam usaha pembaharuan MPH di Malaysia.
“Pembaharuan ini bermula dengan pembukaan kedai utama kami di The Exchange TRX. Kami komited untuk terus menyokong sektor pendidikan di negara ini,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Fadhlina Sidek memuji komitmen MPH Bookstores dalam mempromosikan literasi dan pendidikan.
“Memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda amat penting bagi membina masyarakat yang berilmu dan berpandangan jauh,” ujarnya.
Kehadiran semula MPH Bookstores di Alamanda pastinya menjadi destinasi baharu buat peminat buku dan keluarga untuk terus menghidupkan budaya membaca. – JURNAL
Sumber: Kosmo!