Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin, menyuarakan bantahannya terhadap tindakan menyiasat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, di bawah Akta Hasutan 1948.
Meskipun beliau tidak setuju dengan kenyataan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Negeri di Kelantan baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa penggunaan akta tersebut adalah tidak wajar dan bersifat menindas.
“Saya sangat tidak bersetuju apabila beliau (Muhyiddin) disiasat, apatah lagi didakwa di bawah Akta Hasutan. Saya tahu betapa zalimnya akta ini kerana saya pernah membela pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti Abdul Khalid Samad yang didakwa di bawah akta ini. Unsur-unsur penindasan dalam akta tersebut masih kekal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pelbagai pihak telah mengkritik tindakan Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kerana didakwa sengaja menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama, dan raja (3R) semasa kempen PRK Negeri di Kelantan.
Kenyataan tersebut dikatakan telah mencetuskan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, terutamanya apabila Muhyiddin secara sinis mempertikaikan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Mohamed Hanipa yang juga bekas Ahli Parlimen Sepang menekankan bahawa PH sebelum ini juga menentang akta yang dianggapnya sebagai zalim tersebut.
“Semasa saya menjadi Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah), PH juga tidak bersetuju dan kami berbahas menentang akta yang menindas ini,” tambahnya.
Akta Hasutan 1948, yang diperkenalkan pada era penjajah, menjenayahkan ucapan yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Ini termasuk ucapan yang membawa kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja-raja Melayu, kerajaan, atau pentadbiran keadilan; menggalakkan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk berlainan; serta mempersoalkan keistimewaan, hak, dan taraf yang dilindungi bagi orang Melayu, pribumi, dan Raja-raja. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian